Disember 21, 2009
(Cerita Artis) Din Beramboi serius atau gila-gila ?
Penyampai radio yang personaliti 'riuh-rendah' dan jenaka 'luar kawalan' yang diperdagangkan, empunya diri Mior Ahmad Fuad, 43, atau Din Beramboi, sebenarnya berkeperibadian serius. Cabang komedi adalah platform yang membolehkan dia diterima dan dikenali umum. Masyarakat juga sudah serasi dengan personaliti yang ditampilkannya. Malah, dia juga mendapat sumber rezeki dengan penampilan imej komedi.
Namun, itu tidak bermakna Din 'gila-gila' dan membuat lawak sepanjang masa. Personaliti yang gila-gila, lucu dan riuh-rendah itu hanya ditampilkan kepada umum ketika bekerja. Realitinya, Din tidaklah 'huru-hara' seperti mana yang dikenali umum. Akuinya, sebagai seorang artis yang menjadikan bidang komedi sebagai periuk nasi, dia harus menjadikan dirinya seperti mana yang disukai ramai.
Baca Selanjutnya
"Peminat dan masyarakat mengenali dan menerima saya sebagai Din Beramboi yang lucu, huru-hara dan gila-gila. Itulah cara saya mendapat sumber rezeki, jadi apabila bekerja tidak kiralah untuk persembahan, di radio, berlakon atau program komedi, saya perlu tampil sebegitu. Personaliti gila-gila dan jenaka 'melampau' itu yang menarik minat orang ramai terhadap saya.
"Orang ramai selesa dan senang mengenali saya sebegitu. Jadi saya akan pamerkan personaliti itu bila bekerja. Tapi bila tidak bekerja atau ketika di rumah bersama keluarga, saya adalah diri saya. Sebagai individu, saya seorang yang serius dan tidak membuat lawak 24 jam tapi apabila bekerja saya adalah Din Beramboi. Bukan bermakna saya langsung tidak bergurau dan berlawak di luar waktu kerja, namun ia tidaklah seperti mana yang dilihat dan dikenali di TV ataupun radio,'' katanya.
Menyentuh aspek kerjaya, Din yang semakin laris sejak mengendalikan segmen Riuh Pagi Era di Radio Era bersama Aznil Hj Nawawi berkata, dia amat bersyukur dengan peluang dan ruang yang terbuka untuknya di dalam industri hiburan.
Ketika ditanya mengenai pendekatan yang akan ditampilkannya sebagai pengkritik tetap Raja Lawak 4 kelak, Din berkata, dia teruja untuk membantu peserta-peserta yang baru hendak berjinak-jinak di dalam dunia komedi.