Bintang RTM 2009 juga didominasi peserta wanita apabila sembilan peserta menjadi pilihan juri profesional iaitu Nur Ernie Shahirah Zakri (Ernie), Jo-Anna Sue Henley Rampas (Anna), Hasfareza Harun (Eza), Nur Azilla Mohd Ibrahim (Zilla), Aziana Abdullah (Ziana), Saidatul Aina Jamaluddin (Aina), Rozainita Aida Mohamed Bakri (Aida), Nur Fatin Nabila Noor Sazley (Fatin) dan Irsa Sahabuddin (Irsa).
Jurucakap Unit Perhubungan Media/Promosi RTM, Nurul Fariza Ibrahim berkata, semua peserta peringkat suku akhir dibahagi kepada enam kumpulan dan Suku Akhir 3, 4 dan 5 kedua-dua peserta dimenangi wanita, Eza dan Zilla, Ziana dan Aina serta Aida dan Fatin.
Katanya, hanya tiga peserta lelaki bakal memberi saingan sengit kepada wanita iaitu Arnizam Micheal (Nizam) dari Suku Akhir 1, Mohd Ikbal Abdul Hatam (Ikbal) Suku Akhir 2 dan Azwan Abdul Aziz (Azwan) Suku Akhir 6.
"Pada 17 Mei (esok) menjadi penentu nasib peserta yang tersingkir untuk diundi semula menerusi SMS bagi dua peserta dan kemudian bergabung dengan 12 finalis ini.
"Untuk peringkat separuh akhir, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan untuk dua episod, Peringkat Separuh Akhir Pertama pada 24 Mei nanti diikuti Separuh Akhir Kedua (31 Mei).
"Mereka sekali lagi berentap untuk menentukan lapan tempat ke peringkat akhir Bintang RTM 2009 pada 21 Jun nanti untuk memilih peserta yang benar-benar memiliki pakej lengkap dan suara menawan.
"Justeru, teruskan menonton Bintang RTM 2009 untuk menyaksikan perjuangan mereka yang memiliki pakej lengkap ini saban minggu untuk menantikan siapakah yang berjaya ke peringkat akhir pada 21 Jun ini," katanya.
Ernie, dari Bangsar, Kuala Lumpur adalah naib johan Bintang Kecil Kebangsaan 2002 dan pernah menimba pengalaman menjayakan Konsert Warisan Budi di Istana Budaya manakala Anna, dari Kota Kinabalu, Sabah adalah penyanyi sambilan di Pusat Kebudayaan Negeri Sabah.
Eza, peserta dari Kangar, Perlis adalah penyanyi sambilan di Hotel Putra Palace sementara Zilla dari Kulim, Kedan banyak menimba pengalaman menyertai pertandingan karaoke sekitar utara manakala Ziana dari Subang Jaya, Selangor pernah menyertai One In A Million (OIAM) pada 2007 dan juga finalis Golden Voice Of PJ 2007.