Mei 07, 2009
Artis Malaysia : Jay Jay Di Konsert Istana Budaya
LUSA dua seniman tanah air, Jay Jay dan Rahim Othman akan bergabung tenaga untuk sama-sama memeriahkan Konsert Untukmu Ibu - Black Dog Bone di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Persembahan selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei itu membawa makna yang cukup besar buat mereka berdua. Ini kerana untuk merealisasikan hasrat berkenaan, bukan satu perkara yang mudah terutama bua buat Jay Jay.
Penyanyi yang pernah menjadi idola ramai gadis suatu ketika itu kini berhadapan dengan dilema apabila menerima tamparan daripada teman-temannya yang pernah mengasaskan kumpulan Carefree.
Tidak ketinggalan, Rahim turut terheret sama dalam kancah kontroversi itu.
Namun semua itu tidak memberi tekanan buat Jay Jay kerana akhirnya dia menerima apa saja yang berlaku sebagai ujian dalam perjalanannya sebagai anak seni.
Bahkan, ketika ini, dia secara peribadi sudah tidak mampu membendung rasa tidak sabar untuk beraksi di pentas bertaraf dunia itu.
Menurut Jay Jay, pada masa yang sama dia mahu khalayak mengetahui bahawa kesediaan beliau dan Rahim beraksi secara solo bukan dirancang oleh mereka berdua, sebaliknya itu permintaan penganjur.
"Semua ini permintaan penganjur. Kalau penganjur pilih orang lain pun kami tidak kisah kerana itu rezeki masing-masing,'' jelasnya.
Konsert Untukmu Ibu pada 8 hingga 10 Mei ini turut menyaksikan Istana Budaya menjalin kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai media rasmi untuk membawa Black Dog Bone ke pentas budaya bertaraf dunia.
Konsert yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya sempena Hari Ibu itu melibatkan syarikat Box Office selaku penganjur bersama, manakala Sinar FM bertindak sebagai radio rasmi.
Carefree sepatutnya menjadi kumpulan undangan konsert berkenaan namun digugurkan apabila Jay Jay mendakwa anggota Careefree yang lain tidak dapat memenuhi undangan kerana komitmen kerja.
Dengan penolakan tersebut, hanya dua ahli Carefree iaitu Jay Jay dan Rahim Othman akan muncul dalam konsert itu nanti.
Bagaimanapun, menurut Carefree pula, mereka tidak pernah menolak tawaran IB sebaliknya ingin berbincang lanjut soal bayaran dan perjanjian hitam putih persembahan itu.
Jay Jay pada masa yang sama akan memastikan para peminat setianya dan Carefree tidak akan pulang dengan hampa sebelum mendengar lagu-lagu popular yang pernah dimasyhurkan ketika era kegemilangan kumpulan itu.
"Orang lain pun menyanyikan lagu-lagu saya. Saya tidak kisah. Apa salahnya saya menyanyikan lagu-lagu Carefree," ujarnya yang kini sedang giat mengadakan latihan.
Sementara itu, bagi Rahim pula, dia pun tidak sedikitpun terkesan atas tindakan yang diambil oleh rakan-rakannya di dalam Carefree.
"Bagi saya, persembahan akan tetap diteruskan. Perkara-perkara membabitkan emosi ini harus diketepikan.
"Semua anggota Carefree adalah baik-baik belaka tetapi terperanjat juga mengapa mereka sanggup buat tindakan berkenaan terhadap saya dan Jay Jay," kata Rahim penuh tanda tanya.
Ujar Rahim, Carefree sudah lama menghilang dan cuma yang tinggal hanyalah pada namanya sahaja.
Diajak berbicara mengenai aspek persembahan pada konsert itu nanti, Rahim memberitahu, ketika ini dia sedang giat berlatih meniup flute.
"Sudah hampir 25 tahun saya tidak meniupnya. Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik demi memastikan konsert ini berjalan lancar,'' ikrarnya.