.jpg)
KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2009: Sejak Hafiz kehilangan pemain MP3nya sebagaimana yang dipaparkan dalam Diari AF minggu ini, ibunya, Puan Halizawati Hj Salleh, terus susah hati dan tidak senang duduk.
Perasaan Halizawati itu telah diluahkan serta dikongsi bersama murai.com.my apabila penulis menghubunginya untuk bertanyakan hal-hal lain yang berkaitan dengan Hafiz, siang tadi.
"Susah hati betul saya sekarang ini. Macam manalah pemain MP3 Hafiz itu boleh hilang pula? Kalau betul, Hafiz terlupa atau silap letak, benda itu tentu masih ada lagi dalam akademi. Kalau pemain MP3 itu memang kena curi, siapa pula mengambilnya?
"Kalau hendak tuduh sesiapa pun tidak boleh juga. Bukankah kawalan di dalam akademi itu sangat ketat? Takkanlah ia boleh hilang macam itu saja? Takkan tidak ada sesiapa yang nampak sedangkan tempat itu dipenuhi dengan kamera?
Entahlah macam-macam persoalan timbul dalam fikiran saya ketika ini. Bagaimana agaknya Hafiz hendak berlatih menyanyi dengan mudah kalau dia tidak mempunyai alat pemain MP3 itu lagi?" katanya.
Adakalanya, terdetik juga dalam hati Halizawati, adakah apa yang sedang dialami Hafiz itu sebenarnya salah satu daripada elemen drama yang sengaja cuba dicetuskan oleh pihak produksi AF7.
"Kalau betullah ia hanyalah drama saja, saya tak kisah. Sebab saya faham bahawa drama adalah satu tarikan yang cuba ditonjolkan kepada penonton. Cuma, saya tak tahu bagaimana Hafiz hendak berlatih tanpa alat itu," kata Halizawati yang kedengaran tidak begitu sihat akibat sakit demam.
Sungguhpun begitu, dia berkata, dia tetap akan berada di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada Sabtu ini untuk menyaksikan persembahan konsert mingguan ke-8n yang kali ini bertemakan teater muzikal.
"Walaupun saya tidak begitu sihat tetapi saya tetap akan datang untuk memberikan sokongan buat Hafiz dan saya harap dia akan buat yang terbaik pada malam itu nanti," katanya
Info Murai Web
 
 
