Mei 21, 2009
Stacy tidur tiga jam
Seperti kebanyakan artis baru yang mula berasa tempias populariti dan kehidupan sebenar dunia glamor apabila berkecimpung dalam bidang seni, hakikat itu turut dirasai Stacy.
Katanya, cabaran untuk artis baru sepertinya lebih besar apabila perlu bersaing dengan ramai artis termasuk penyanyi senior yang sudah mempunyai banyak pengalaman.
"Ketika di akademi, saya pernah berimaginasikan rentak dunia seni. Namun, apabila keluar dari akademi, saya dapati realitinya jauh berbeza dari apa yang saya mimpikan.
"Secara jujur, saya agak terkejut dengan senario sebenar persada seni dan barulah saya tahu betapa susahnya apabila berhadapan dengan realiti.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sewaktu berada di Akademi Fantasia, saya didedahkan dengan pengetahuan dunia seni dan ini sedikit sebanyak membantu saya menerokai pentas hiburan," katanya.
Ketika namanya sentiasa meniti di bibir peminat, sudah tentu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukannya untuk terus berjaya menggapai impian sebagai insan seni.
Tanpa berselindung, Stacy mengakui sejak menjadi artis popular, waktu tidurnya bukan saja tidak menentu malah tidak cukup. Ada waktunya, dia hanya dapat tidur cuma dua atau tiga jam saja.
"Boleh dikira dalam sehari berapa jam saja saya tidur. Kalau dulu, ketika saya menyanyi di kelab, habis kerja lewat malam, tetapi saya dapat gantikan masa tidur di siang hari.
"Namun, sejak menjadi artis, waktu tidur saya hanya tiga atau empat jam sahaja sekiranya ada persembahan. Ketika awal jadi artis, saya agak pening dengan jadual tidur tetapi lama-kelamaan saya berjaya mengatasi masalah ini.