AKTRES cantik yang terkenal dengan imej solehehnya, Inneke Koesherawati kini mempunyai sesuatu yang lebih penting berbanding kerjaya yang telah dijalani sejak bertahun lamanya.
Bukan berhenti terus daripada dunia hiburan, sebaliknya Inneke memilih agar memberi fokus terhadap keluarga dan anak-anak. Justeru dia amat selektif dengan tawaran lakonan yang datang pada masa kini dan hadapan.
Walaupun belum terbiasa dan masih berasa kekok kerana tidak berlakon, Inneke bagaimanapun memilih untuk mendidik anak-anaknya.
"Memang agak berat apalagi selepas sibuk selama enam bulan dengan penggambaran, terus tiba-tiba berhenti. Tapi selepas ada anak-anak saya merasa ada sesuatu yang baru dalam hidup saya.
"Saya tidak menyesal dengan keputusan untuk 'hilang' seketika dalam dunia hiburan kerana mahu memberi tumpuan dan mendidik anak-anak saya sendiri," kata Inneke yang cukup terkenal dengan drama Mutiara Hati.
Tetapi kata Inneke, biarpun dia membataskan diri dengan sibuk di lokasi, namun itu tidak bermakna dia mahu melupakan terus bidang lakonan. Malah jika tawaran yang datang seperti tawaran berlakon iklan yang tidak akan mencuri waktunya dengan banyak, Inneke tidak keberatan untuk ke lokasi.
Katanya: "Kalau waktu penggambarannya tidak lama, saya okay untuk berlakon. Asalkan saya masih memberi tumpuan utama pada anak-anak."