Februari 24, 2010

(Cerita Artis) Shiela Rusly dan Azlina Hadiri Proses Mediasi !!


Pelakon dan pengacara Sheila Rusly dan Azlina, seorang ahli perniagaan, hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini selepas Hakim Datuk Lim Yee Lan memerintahkan mereka hadir bagi proses mediasi dan merekodkan terma-terma penyelesaian. Kes saman penerbit drama, pelakon dan pengacara Sheila Rusly terhadap bekas rakan kongsi perniagaan restorannya Datuk Azlina Che Abdullah berkemungkinan diselesaikan secara baik.  
Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini.Sheila, 39, dan Azlina, 44, yang saling berpegangan tangan, masuk ke dalam kamar hakim pada pukul 9.30 pagi, dan keluar dari bilik tersebut pada 10.45 pagi. Bagaimanapun, hanya mereka berdua sahaja yang masuk ke kamar hakim, manakala peguam Norehan Atan yang mewakili Sheila dan peguam Mohd Firuz Jaffril serta Azahir Nasir yang mewakili Azlina, berada dalam bilik mahkamah.
Selepas pertemuan dengan hakim, Sheila ketika ditemui media, berkata kedua-dua pihak akan cuba menyeselaikan kes saman itu secara baik. Dalam pernyataan tuntutan itu, Sheila mendakwa pada sekitar bulan April 2005, beliau dan Azlina telah berbincang serta bersetuju untuk membuka sebuah perniagaan restoran dan restoran itu mula beroperasi pada 11 Julai 2004.
Dalam saman itu, beliau menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu, keuntungan perniagaan itu dari tempoh 1 Sept hingga 30 Sept 2005, kehilangan keuntungan masa depan, gantirugi am akibat pelanggaran kewajipan, gantirugi teladan, gantirugi teruk dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mengikut perjanjian perkongsian lisan, Sheila mendakwa beliau dikehendaki mempromosikan perniagaan restoran itu melalui rancangan televisyen dan kalangan kenalan artis serta orang ramai, manakala Azlina bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan resepi dan masakan utama restoran itu.
Pada 30 Sept 2005, Sheila, yang pergi ke restoran itu mendapati restoran berkenaan telah ditutup dan pada 2 Okt 2005, beliau mendapati sebuah restoran lain yang diberi nama restoran Nasi Dagang Ulik Mayang dibuka di premis bersebelahan dengan restorannya.
Azlina dalam pernyataan pembelaannya mendakwa kegagalan restoran itu antara lain disebabkan kegagalan Sheila menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakan kongsi dan kegagalan Sheila untuk meneruskan operasi restoran itu semasa gilirannya.