Jun 29, 2009

(Celebrity News) Pengkebumian Michael Jackson Secara Islam ?


PEMINAT meletakkan jambak bunga, belon dan kad ucapan takziah di Encino, Los Angeles, California, semalam.

AYAH Michael, Joe Jackson (kanan), Jesse Jackson dan anaknya Yusef Jackson di kediaman keluarga penyanyi pop itu.


Gambar (kiri); ADIK Michael, Rebbi Jackson tiba di kediaman keluarga untuk menziarahi penyanyi pop itu, semalam. (kanan); Katherine Jackson melambaikan tangan kepada peminat anaknya di Encino, Los Angeles, semalam.

LOS ANGELES: Keluarga Michael Jackson berhimpun semalam untuk membincangkan pengebumian Raja Pop itu, dengan spekulasi dalam internet menyatakan ia mungkin diadakan secara Islam.

Abang Michael, Tito Jackson berkata beliau dengan beberapa anggota keluarga sedang menimbangkan sama ada untuk mengadakannya secara awam atau satu upacara persendirian.

Menurut TMZ.com, laman web yang menjadi organisasi berita pertama melaporkan kematian Michael Khamis lalu (pagi Jumaat waktu Malaysia), keluarga Raja Pop itu berhimpun semalam dan sumber berkata satu pengumuman mengenai pengebumian penyanyi itu akan dibuat awal minggu ini.

Upacara pengebumian Michael jika diadakan secara awam dijangka menjadi terbesar dalam sejarah industri hiburan dengan menarik kehadiran ribuan orang termasuk selebriti terkenal.

Ramai menjangka upacara itu akan membayangkan pengebumian Elvis Presley pada 1977 dan akan mencetuskan luahan emosi seperti pengebumian Puteri Diana pada 1997.