April 17, 2012

Cerita Seram : Bau Wangi

Nama saya Bob. Saya ada satu pengalaman yang ringkas, terjadi 12 tahun yang lalu. Waktu itu saya berumur 25 tahun. Waktu bujang lagi dan tiada siapa yang nak halang ke mana saya pergi. Saya selalu lepak bersama kawan-kawan yang sekepala dengan saya. Salah seorang kawan saya mempunyai lori sendiri. Kadangkala bersama tiga orang kawan yang lain, kami suka bersiar-siar sehingga lewat malam.

Pada suatu malam, kami bercadang hendak lepak di pantai Changi. Sebelum itu kami pergi mengambil dua orang kawan perempuan yang hendak turut serta. Selepas menjemput mereka kami pun bergerak menuju ke kawasan pantai Changi. Sampai di sana, setelah meletak lori di kawasan meletak kereta yang paling hujung, kami pun berjalan menuju ke tempat duduk di tepi pantai. Waktu itu tiada orang di kawasan itu, maklumlah sudah jam 1:30 pagi. Pada hari biasa mana ada orang yang hendak merayap kecuali yang degil macam kami?

Sambil kami duduk, berbual dan bergurau tiba-tiba salah seorang kawan perempuan yang bernama Lin bertanya pada saya, "Eh kau pakai minyak wangi apa eh? Wangi betul..." Saya terdiam sekejap kerana saya tidak suka menyembur minyak wangi kerana hidung yang sensitif. Saya pun menjawab, "Mana aku ada pakai minyak wangi? Kau ni dah mengantuk ke?" Yang lain ketawa bila saya jawab dengan selamba. Kami teruskan berbual. Selang sepuluh minit kemudian, Lin bertanya soalan yang sama. Kali ini saya dah rasa yang ada benda yang tak kena.


Terus kawan saya yang memandu lori yang bernama Shah mengajak kami beredar dari situ dengan alasan perutnya lapar. Padahal sebelum menjemput kawan perempuan kami tadi saya dan Shah pergi makan terlebih dahulu. Dalam perjalanan balik ke lori, Shah menarik saya ke belakang supaya yang lain berjalan di hadapan dahulu.

Sedang saya dan Shah berjalan dia bertanya pada saya, "Kau tahu tak kenapa Lin tanya kau?" Saya menggelengkan kepala. Shah sambung, "Sebab di sebelah kau ada 'kakak cantik' sedang berdiri tengokkan kau. Sebab itu aku ajak kita beredar..." Saya terdiam seketika. Kawan saya Shah ni memang mempunyai kebolehan melihat dalam perkara ghaib ni. Wallahu'alam Bissawab... 

Jika Dah Baca ClickLah Like @ Share !!