Jun 03, 2009

(Gossip) Farid Kamil, Diana Danielle bercinta?


DARI kiri, Diana bekas kekasih Syamsul. Farid pernah bertakhta di hati Irma. Lisa dikatakan pilih pramugara sebagai kekasih.

Pelakon remaja itu khabarnya pernah mengaku jalin hubungan serius dengan pengarah muda

PATAH tumbuh hilang berganti, cinta yang pergi kini berganti. Rasanya pantun dua kerat yang Zubir tulis tengah malam Rabu lalu sesuai ditujukan kepada tiga artis muda yang sedang menempa nama ini - Diana Danielle, Farid Kamil dan Lisa Surihani. Diana yang pernah menjalin cinta dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Datuk Yusof Haslam, khabarnya sudah bertemu pengganti, siapa, sekejap lagi Zubir canangkan.

Begitu juga dengan aktor muda dan pengarah berbakat, Farid Kamil, apabila hubungan cintanya Irma Hasmie putus di tengah jalan, dia sudah ada kekasih baru, tapi dengan Lisa Surihani seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya dia kini dikatakan bercinta dengan Diana Danielle!

Memang susah nak percaya, Zubir sendiri terlopong mulut apabila pertama kali dikhabarkan oleh seorang teman artis ketika kami sama-sama melepak di sebuah restoran mamak di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mana tidaknya, sebelum ini kita sering disajikan dengan cerita Farid 'berteman tapi mesra' dengan Lisa.

Ketika menemubual Farid sebelum ini, dia pernah mengaku kepada Zubir, Lisa adalah kawan baiknya dan tidak menolak ketentuan Tuhan sekiranya Lisa adalah jodohnya suatu hari nanti. Diana pula selepas putus cinta dengan Syamsul, dia terus mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai 19 Mac lalu di Kem Princess Haliza, Sepang, justeru mana ada peluang dia berkesempatan menjalin hubungan cinta dengan Farid?

"Abang Zubir, betul, sekarang ni Farid dengan Diana, bukan Lisa! Itulah ramai orang tak tahu hal ini. Memang Farid sering digosipkan dengan Lisa, tapi semua itu untuk tujuan komersial semata-mata demi kerjaya lakonan mereka. Tambahan pula kedua-duanya bernaung di bawah syarikat yang sama dan sama-sama terpilih sebagai wajah eksklusif Astro. Tapi, dia orang tak ada apa-apapun, hanya kawan baik.

"Tapi, Farid dengan Diana, kes lain. Sekalipun Diana tidak pernah memberitahu saya siapa cinta barunya, tapi dia pernah berbisik kepada kawan baik saya, dia sekarang dengan Farid! Kalau kawan saya tu tipu, maka tipulah cerita ini Abang. Tapi, saya yakin, kawan saya tak akan buat cerita kalau dia tak dengar sendiri daripada mulut tuan punya badan. Yang pasti, Farid dan Diana ni, pandai cover line, cinta rahsia!," cerita teman artis berkenaan kepada Zubir.

Memang sukar diterima khabar angin ini sekiranya bukan keluar daripada mulut teman artis tadi. Zubir sendiri paksa diri untuk percaya sebab teman artis tadi beriya-iya benar bercerita kepada Zubir. Tapi, tak tahulah sekiranya maklumat yang diterima daripada kawan baiknya itu hanya gurauan semata-mata daripada Diana. Tapi, tak logik sekiranya soal hati dan perasaan ini, Diana nak buat main-main pula!

Yang peliknya bagaimana Farid dan Diana berhubungan, mana ada SMS, e-mel dan sebarang bentuk komunikasi tidak dibenarkan kepada peserta PLKN. Tapi, lainlah pada hujung minggu apabila peserta dibenarkan membuat panggilan telefon menggunakan telefon awan di kem! Pun begitu, apabila difikirkan kembali, cinta tiada sempadan. Siapa tahu, Farid dan Diana mempraktikkan cinta 'program jarak jauh' atau cinta 'PJJ'!

"Lisa sekarang ni bercinta dengan seorang pramugara. Ramai orang tak tahu Abang Zubir, Lisa ni kuat simpan rahsia," tambah teman artis tadi kepada Zubir.

Bagi Zubir, mereka semua masing-masing masih bujang dan ada sejarah cinta silam yang terhenti di tengah jalan. Justeru, tak salah mereka bertemu cinta baru, kehidupan dan karier mesti diteruskan. Yang penting, jangan jadi perampas kekasih, tunang, suami atau isteri orang! Ketiga-tiganya solo, elok eratkan lagi perhubungan itu, insya-Allah perhubungan yang ikhlas akan berakhir di gerbang perkahwinan.

Pun begitu, sekiranya apa yang Zubir teropong ini tidak tepat atau sekadar gosip semata-mata, kepada Diana, Farid dan Lisa, maafkanlah Abang Zubir, okey cun! Selamat berhari minggu, kita enjoy!