Mei 27, 2009

(Celebrity News) Hafiz sedia 'berentap' di medan seni


TAHUN lalu, ketika Akademi Fantasia menjengah ke musim keenam (AF6), jejaka comel bernama Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau mesra dengan panggilan Hafiz ini merupakan antara ribuan peserta yang hadir untuk mencuba nasib dengan menyertai sesi uji bakat.
Berbekalkan sokongan keluarga serta percaya kepada kemampuan diri juara AF1 iaitu Vince diikuti Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4) dan Mila (AF5), menjadi sandarannya untuk menggapai impian menuju ke puncak kejayaan yang sama.

Bagaimanapun, segala yang diimpikan Hafiz ketika itu punah dan rezeki seakan enggan memihak kepadanya apabila tidak tersenarai untuk diterbangkan ke Kuala Lumpur bagi bersaing merebut gelaran juara.
Sedikit kecewa kerana tersingkir awal pada sesi uji bakat berkenaan, namun anak kelahiran bumi Kenyalang ini tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kemenangan yang dikecapi Stacy di musim keenam sebagai anak bumi negeri di bawah bayu pertama menjuarai siri saingan AF sedikit sebanyak membakar semangatnya untuk kembali memasuki sesi uji bakat di musim ketujuh.
Hasilnya, dia terpilih sebagai antara pelajar AF7 dan paling membanggakan Hafiz berjaya meletakkan namanya sebaris enam dengan juara AF terdahulu dengan merangkul kejuaraan.

Menjadi anak Sarawak pertama menjuarai AF, langkah Hafiz melalui liku-liku hidup selaku insan seni sudah pun bermula.
Ke mana arah dan tujuan yang ingin dibawa, semuanya terpulang dan bergantung kepada jejaka berusia 19 tahun ini.

Bakal dilanda pelbagai gosip, jatuh bangun dan apa sahaja senario berkaitan dunia hiburan, bagi Hafiz semuanya itu bakal dilaluinya dengan penuh tabah.
Ya, saya sudah bersedia menghadapi apa jua cabaran dan dugaan.

Banyak benda yang perlu saya pelajari serta mendapatkan pengalaman-pengalaman baru.
Sebagai orang baru, saya juga memerlukan sokongan media untuk membantu dalam apa jua perkara,'' katanya ketika sesi fotografi eksklusif bersama Hits di studio Utusan, baru-baru ini.

Tanggal 16 Mei lalu menjadi detik bersejarah dalam hidup Hafiz apabila diumumkan sebagai juara AF7 dengan mengenepikan empat pencabarnya yang lain iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma.

Kemenangan itu melayakkan Hafiz membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000 tajaan Astro.
Hafiz juga turut menerima hadiah sebuah kereta Honda Accord 2.0, percutian ke New York untuk dua orang, set teater rumah dan kamera digital Olympus.

Menyambung bicara, Hafiz berkata, dalam mengejar impiannya bergelar penyanyi, dia juga sudah bersedia untuk tinggal berjauhan dari ahli keluarganya di Sarawak.
Ujar Hafiz yang dikatakan manja dengan ibunya, walau berjauhan, ia mengajarnya untuk hidup berdikari.

Saat ditanya tentang senario bekas pelajar yang tersingkir atau pemenang tempat kedua serta ketiga menjadi lebih gah daripada juara itu sendiri, Hafiz menjelaskan bahawa semuanya adalah rezeki masing-masing.
Saya juga kena bersaing dengan mereka. Persaingan di sini adalah secara sihat. Sebagai juara, saya perlu berusaha dengan lebih gigih,'' katanya yang akan cuba menyeimbangkan antara karier dan pelajarannya di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), Kuching.

Info Selanjutnyer Bacala Utusan....

Apa Pun Good Luck Hafiz