Azizi kembali ke persada nyanyian dengan semangat baru selepas enam tahun menyepi. Bukan sahaja bakal muncul dengan album terbaru pada Mei atau Jun depan, teruna kelahiran Kuantan, Pahang ini juga akan mempertaruhkan nasibnya dengan penjenamaan baru.
Azizi yang mempertaruhkan nama Ahmad Azizi berkata, pemilihan nama itu dianggap bersesuaian dengan imej dan usianya yang semakin matang. Malah, ramai anak seni tidak kira tempatan atau antarabangsa turut menggunakan dua perkataan sebagai nama profil mereka.
"Saya memilih utuk menampilkan diri sebagai Ahmad Azizi untuk kemunculan semula ini. Nama itu sebahagian daripada nama saya dan ia lebih menarik dan bersesuaian dengan imej dan kematangan usia.
"Bukan nak kata nama Azizi tidak bagus, cuma sebagai comeback, tidak salah rasanya saya tampilkan sedikit kelainan dan sesuatu yang lebih segar buat peminat dan masyarakat.
"Lagipun ramai artis tidak kira tempatan atau antarabangsa yang menggunakan dua perkataan sebagai nama profil mereka," kata Azizi.
Ujarnya lagi, kemunculan semula ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada khalayak khasnya para peminat bahawa dirinya masih aktif dalam bidang nyanyian.
"Saya kembali demi bidang nyanyian yang saya cintai. Selain itu, saya juga ingin masyarakat tahu bahawa saya masih aktif menyanyi.
"Selama enam tahun menyepi, ramai orang bertanya bila saya akan kembali dengan album baru. Saya rasa tahun 2010 adalah masa terbaik untuk buatcomeback," katanya.